Saturday, August 8, 2009

Noordin Mohd Top mati dibom

TEMANGGUNG, Jawa Tengah 8 Ogos – Polis elit antipengganas Indonesia terpaksa melontar enam bom sebelum dapat membunuh pengganas paling dikehendaki di republik ini, Noordin Mat Top yang telah melilitkan bom pada badannya di sebuah rumah di Kampung Peji di sini pagi ini.

Noordin dikatakan berkubu di dalam bilik air setelah terkepung selama 17 jam sejak semalam, dipercayai telah kehabisan peluru selepas berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan Indonesia itu.

Dia dipercayai bertindak nekad melilitkan bom pada badannya dan memaksa polis meletupkan bom bagi membunuh pengganas itu.

Ketika bom pertama diletupkan, polis dapat mendengar suara Noordin mengerang kesakitan akibat tercedera dan apabila ditanya siapa di dalam, dia mengaku adalah Noordin.

Bagaimanapun, setelah enam butir bom diletupkan ke dalam rumah berkenaan pada kira-kira pukul 10 pagi, akhirnya ia membunuh Noordin yang genap berusia 41 tahun, 11 Ogos ini.

Selepas terbunuhnya Noordin, kelihatan anggota pasukan elit antipengganas berkenaan bertepuk tangan, saling mengucapkan tahniah dengan bersalaman antara satu sama lain sambil tersenyum. Reaksi itu dapat dilihat semasa siaran langsung yang disiarkan televisyen tempatan.

Mayat Noordin kemudiannya diterbangkan ke Jakarta menggunakan helikopter bagi dipastikan identitinya. Noordin diburu sejak tujuh tahun lalu.

Dia dipercayai melarikan diri dari Jakarta selepas pengeboman berkembar di Mega Kuningan, 17 Julai lalu melalui jalan darat dan telah bersembunyi di kawasan tanah perkuburan di kampung berkenaan sebelum dibawa ke rumah tersebut di Kampung Peji selepas mendapati keadaan selamat.

Bagaimanapun, polis yang mendapat maklumat mengenai kehadiran Noordin di rumah berkenaan telah mengepung premis tersebut yang terletak di kawasan sawah dan kebun jagung.

Dua lelaki yang cuba melarikan diri dari rumah yang berada di kawasan terpencil itu ditembak di kaki dan ditangkap.

Noordin pula yang bersembunyi di dalam rumah berkenaan telah melepaskan tembakan ke arah pasukan polis yang menyaksikan kejadian berbalas tembak.

Kejadian itu juga telah menarik perhatian ratusan penduduk sekitar yang mahu melihat kejadian berkenaan.

Setakat ini, Timbalan Ketua Jabatan Perhubungan Awam Polis Indonesia, Brigadier Jeneral Soelistyo ketika dihubungi enggan mengesahkan sama ada lelaki yang terbunuh itu adalah Noordin.

Sementara itu, Ketua Polis Metrojaya, Inspektor Jeneral Wahyono berkata, Noordin dan pengikutnya dipercayai merancang untuk menyerang kediaman Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dengan menggunakan bom kereta.

Bagaimanapun polis yang lebih dahulu menghidu pergerakan mereka telah melakukan dua serbuan di Bekasi, Jawa Barat dan Temanggung, Jawa Tengah.

Wahyono berkata, kejayaan itu adalah berikutan pengintipan polis ke atas seorang lelaki yang diekori dari Solo sebelum ditangkap di Jakarta Utara dua hari lalu iaitu Amir Ibrahim.

“Hasil soal siasat lelaki itu kita menyerbu rumah di Jatiasih, Bekasi dan telah menangkap lima lelaki serta menembak mati dua lagi,” katanya kepada pemberita di Jakarta.

Bom-bom berkenaan, katanya, telah siap dipasang ke dalam sebuah kereta untuk diletupkan di hadapan kediaman peribadi Susilo di Cikeas, Bogor iaitu terletak kira-kira lima kilometer dari rumah yang diserbu.

“Kita menemui bom yang kuasa ledakannya 100 kilogram dan rumah berkenaan dijadikan tempat menyimpan bahan letupan oleh Noordin.

“Kita bersyukur kerana penangkapan Amir Ibrahim tepat pada waktunya dan dapat mengelakkan kumpulan berkenaan daripada meledakkan kesemua bom di rumah di Jatiasih yang pastinya akan menyebabkan ramai terkorban,” katanya.

Dalam serbuan di Bekasi itu dua pengikut Noordin iaitu Aher Setiawan dan Eko Joko Sarjono telah ditembak mati, manakala lima lagi pengikutnya diberkas.

Kedua-dua pengganas tersebut ditembak mati setelah cuba melontar bom tangan ke arah polis.

Kumpulan itu juga dikatakan bertanggungjawab melakukan serangan bom berani mati di Hotel JW Marriott dan Hotel Ritz-Carlton di Mega Kuningan Jakarta Selatan, 17 Julai lalu yang mengorbankan sembilan orang dan mencederakan 53 orang.

Sejurus serangan itu, Susilo mendakwa ia ditujukan kepadanya bagi menggagalkan proses beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden untuk penggal kedua.

Polis juga mengesahkan bom yang ditemui di Bekasi adalah sama seperti bom yang tidak meletup di bilik 1808, Hotel JW Marriott.

Sementara itu, Ketua Polis Indonesia, Jeneral Bambang Hendarso Danuri memberitahu, polis telah mengenal pasti penyerang berani mati di kedua-dua buah hotel berkenaan ialah Dani di Hotel JW Marriott, manakala serangan di Hotel Ritz- Carlton dilakukan oleh Nana.

No comments:

Post a Comment