Saturday, August 8, 2009

Noordin Mohd Top mati dibom

TEMANGGUNG, Jawa Tengah 8 Ogos – Polis elit antipengganas Indonesia terpaksa melontar enam bom sebelum dapat membunuh pengganas paling dikehendaki di republik ini, Noordin Mat Top yang telah melilitkan bom pada badannya di sebuah rumah di Kampung Peji di sini pagi ini.

Noordin dikatakan berkubu di dalam bilik air setelah terkepung selama 17 jam sejak semalam, dipercayai telah kehabisan peluru selepas berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan Indonesia itu.

Dia dipercayai bertindak nekad melilitkan bom pada badannya dan memaksa polis meletupkan bom bagi membunuh pengganas itu.

Ketika bom pertama diletupkan, polis dapat mendengar suara Noordin mengerang kesakitan akibat tercedera dan apabila ditanya siapa di dalam, dia mengaku adalah Noordin.

Bagaimanapun, setelah enam butir bom diletupkan ke dalam rumah berkenaan pada kira-kira pukul 10 pagi, akhirnya ia membunuh Noordin yang genap berusia 41 tahun, 11 Ogos ini.

Selepas terbunuhnya Noordin, kelihatan anggota pasukan elit antipengganas berkenaan bertepuk tangan, saling mengucapkan tahniah dengan bersalaman antara satu sama lain sambil tersenyum. Reaksi itu dapat dilihat semasa siaran langsung yang disiarkan televisyen tempatan.

Mayat Noordin kemudiannya diterbangkan ke Jakarta menggunakan helikopter bagi dipastikan identitinya. Noordin diburu sejak tujuh tahun lalu.

Dia dipercayai melarikan diri dari Jakarta selepas pengeboman berkembar di Mega Kuningan, 17 Julai lalu melalui jalan darat dan telah bersembunyi di kawasan tanah perkuburan di kampung berkenaan sebelum dibawa ke rumah tersebut di Kampung Peji selepas mendapati keadaan selamat.

Bagaimanapun, polis yang mendapat maklumat mengenai kehadiran Noordin di rumah berkenaan telah mengepung premis tersebut yang terletak di kawasan sawah dan kebun jagung.

Dua lelaki yang cuba melarikan diri dari rumah yang berada di kawasan terpencil itu ditembak di kaki dan ditangkap.

Noordin pula yang bersembunyi di dalam rumah berkenaan telah melepaskan tembakan ke arah pasukan polis yang menyaksikan kejadian berbalas tembak.

Kejadian itu juga telah menarik perhatian ratusan penduduk sekitar yang mahu melihat kejadian berkenaan.

Setakat ini, Timbalan Ketua Jabatan Perhubungan Awam Polis Indonesia, Brigadier Jeneral Soelistyo ketika dihubungi enggan mengesahkan sama ada lelaki yang terbunuh itu adalah Noordin.

Sementara itu, Ketua Polis Metrojaya, Inspektor Jeneral Wahyono berkata, Noordin dan pengikutnya dipercayai merancang untuk menyerang kediaman Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dengan menggunakan bom kereta.

Bagaimanapun polis yang lebih dahulu menghidu pergerakan mereka telah melakukan dua serbuan di Bekasi, Jawa Barat dan Temanggung, Jawa Tengah.

Wahyono berkata, kejayaan itu adalah berikutan pengintipan polis ke atas seorang lelaki yang diekori dari Solo sebelum ditangkap di Jakarta Utara dua hari lalu iaitu Amir Ibrahim.

“Hasil soal siasat lelaki itu kita menyerbu rumah di Jatiasih, Bekasi dan telah menangkap lima lelaki serta menembak mati dua lagi,” katanya kepada pemberita di Jakarta.

Bom-bom berkenaan, katanya, telah siap dipasang ke dalam sebuah kereta untuk diletupkan di hadapan kediaman peribadi Susilo di Cikeas, Bogor iaitu terletak kira-kira lima kilometer dari rumah yang diserbu.

“Kita menemui bom yang kuasa ledakannya 100 kilogram dan rumah berkenaan dijadikan tempat menyimpan bahan letupan oleh Noordin.

“Kita bersyukur kerana penangkapan Amir Ibrahim tepat pada waktunya dan dapat mengelakkan kumpulan berkenaan daripada meledakkan kesemua bom di rumah di Jatiasih yang pastinya akan menyebabkan ramai terkorban,” katanya.

Dalam serbuan di Bekasi itu dua pengikut Noordin iaitu Aher Setiawan dan Eko Joko Sarjono telah ditembak mati, manakala lima lagi pengikutnya diberkas.

Kedua-dua pengganas tersebut ditembak mati setelah cuba melontar bom tangan ke arah polis.

Kumpulan itu juga dikatakan bertanggungjawab melakukan serangan bom berani mati di Hotel JW Marriott dan Hotel Ritz-Carlton di Mega Kuningan Jakarta Selatan, 17 Julai lalu yang mengorbankan sembilan orang dan mencederakan 53 orang.

Sejurus serangan itu, Susilo mendakwa ia ditujukan kepadanya bagi menggagalkan proses beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden untuk penggal kedua.

Polis juga mengesahkan bom yang ditemui di Bekasi adalah sama seperti bom yang tidak meletup di bilik 1808, Hotel JW Marriott.

Sementara itu, Ketua Polis Indonesia, Jeneral Bambang Hendarso Danuri memberitahu, polis telah mengenal pasti penyerang berani mati di kedua-dua buah hotel berkenaan ialah Dani di Hotel JW Marriott, manakala serangan di Hotel Ritz- Carlton dilakukan oleh Nana.

Friday, August 7, 2009

Nik Aziz enggan masuk campur isu arak

KOTA BHARU 7 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat enggan campur tangan berhubung isu kontroversi membabitkan penjualan arak di negeri Selangor.

"Itu saya tak mahu campur, tapi kalau dia nak tiru Kelantan, saya ucap terima kasih, tapi kalau saya nak nasihat tak boleh. Saya tidak tahu lagi benda apa sebenarnya, cuma baca surat khabar sahaja.

"Saya hanya buat dengan hikmah, orang nak tiru terima kasih, orang tak nak tiru tak apa, kami buat di Kelantan sahaja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Jalinan Mesra Antara Kaum di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai desakan Pas Selangor supaya Exco kerajaan negeri itu, Ronnie Liu digugurkan daripada portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri.

Desakan itu dibuat kerana tindakan Ronnie campur tangan serta mengganggu tugas pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merampas arak di sebuah kedai serbaneka di Seksyen 8, Shah Alam, 30 Julai lalu.

Exco terbabit juga dikatakan mempersoalkan tindakan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengadakan operasi arak dan maksiat yang dilakukan bersama-sama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Bandar Sunway, Petaling Jaya baru-baru ini.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar berkata, beliau bagaimanapun bersedia untuk menerima Exco Selangor itu untuk melihat modul peraturan penjualan arak yang diamalkan di negeri ini.

Beliau berkata, ia dibuat dengan hikmah dan terpulang kepada negeri Selangor untuk mencontohinya.

Di Kelantan, jualan arak dibenarkan mengikut kuota dan hanya dijual di restoran Cina dan kedai-kedai tertentu yang sudah mendapat kebenaran.

Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz berkata, Kelantan akan mengadakan solat hajat secara besar-besaran menghadapi wabak selesema babi atau influenza A (H1NI) dalam masa terdekat.

"Wabak H1N1 ini pihak doktor usaha cara doktor, tapi saya akan usaha sembahyang hajat beramai-ramai, dekat dengan puasa atau belum puasa supaya kita semua sedar, wabak ini sekali sekala kerana kita sendiri buat masalah, makan tak betul ka, tetapi wabak ini sekali sekala adalah tanda murka daripada Allah," katanya.

UPM cuti semester awal tangani penularan H1N1


Jul 28


Cuti pertengahan semester Universiti Putra Malaysia (UPM) akan bermula esok, dua minggu lebih awal daripada yang dijadualkan bagi menangani wabak influenza A (H1N1) di kalangan warga universiti itu.

Difahamkan setakat ini empat penuntut universiti itu disahkan positif H1N1 iaitu dua pelajar dikenakan tindakan kuarantin di kolej kediaman manakala dua lagi dikuarantin di rumah mereka.

Juga difahamkan bahawa jumlah itu mungkin meningkat kerana ujian makmal masih dijalankan terhadap beberapa sampel pelajar yang demam serta mengalami tanda-tanda penyakit itu, lapor Bernama.

Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Nik Mustapha R. Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata langkah menetapkan cuti semester lebih awal yang bermula esok sehingga 4 Ogos itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan.

"Cuti pertengahan semester pertama sessi 2009/2010 sepatut bermula 17 hingga 23 Ogos," katanya.

Dr Nik Mustapha berkata ekoran itu semua aktiviti akademik dan aktiviti lain dalam universiti yang dirancang sepanjang tempoh penutupan itu dibatalkan.