Friday, August 7, 2009

Nik Aziz enggan masuk campur isu arak

KOTA BHARU 7 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat enggan campur tangan berhubung isu kontroversi membabitkan penjualan arak di negeri Selangor.

"Itu saya tak mahu campur, tapi kalau dia nak tiru Kelantan, saya ucap terima kasih, tapi kalau saya nak nasihat tak boleh. Saya tidak tahu lagi benda apa sebenarnya, cuma baca surat khabar sahaja.

"Saya hanya buat dengan hikmah, orang nak tiru terima kasih, orang tak nak tiru tak apa, kami buat di Kelantan sahaja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Jalinan Mesra Antara Kaum di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai desakan Pas Selangor supaya Exco kerajaan negeri itu, Ronnie Liu digugurkan daripada portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri.

Desakan itu dibuat kerana tindakan Ronnie campur tangan serta mengganggu tugas pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merampas arak di sebuah kedai serbaneka di Seksyen 8, Shah Alam, 30 Julai lalu.

Exco terbabit juga dikatakan mempersoalkan tindakan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengadakan operasi arak dan maksiat yang dilakukan bersama-sama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Bandar Sunway, Petaling Jaya baru-baru ini.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar berkata, beliau bagaimanapun bersedia untuk menerima Exco Selangor itu untuk melihat modul peraturan penjualan arak yang diamalkan di negeri ini.

Beliau berkata, ia dibuat dengan hikmah dan terpulang kepada negeri Selangor untuk mencontohinya.

Di Kelantan, jualan arak dibenarkan mengikut kuota dan hanya dijual di restoran Cina dan kedai-kedai tertentu yang sudah mendapat kebenaran.

Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz berkata, Kelantan akan mengadakan solat hajat secara besar-besaran menghadapi wabak selesema babi atau influenza A (H1NI) dalam masa terdekat.

"Wabak H1N1 ini pihak doktor usaha cara doktor, tapi saya akan usaha sembahyang hajat beramai-ramai, dekat dengan puasa atau belum puasa supaya kita semua sedar, wabak ini sekali sekala kerana kita sendiri buat masalah, makan tak betul ka, tetapi wabak ini sekali sekala adalah tanda murka daripada Allah," katanya.

No comments:

Post a Comment