Saturday, September 5, 2009

Najib: Jadikan pilihan raya kecil terdahulu sebagai iktibar

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) supaya menjadikan pengalaman pilihan raya kecil sebelum ini sebagai iktibar.

Perdana Menteri berkata, ia penting supaya mereka dapat melakukan yang terbaik bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Teluk Kemang nanti.

"Saya berharap pengalaman pilihan raya kecil sebelum ini dijadikan sebagai iktibar kepada pemimpin-pemimpin UMNO dan BN untuk kita lakukan yang terbaik pada pilihan raya kecil Bagan Pinang,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan ke Kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu 2 1/2 Jalan Cheras di sini hari ini.

Beliau mengulas kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang ekoran kematian wakil rakyatnya, Azman Mohd. Nor dari BN akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH) di sini pukul 2.30 petang semalam.

Azman, 54, yang merupakan salah seorang daripada dua wakil rakyat BN dalam Parlimen Teluk Kemang yang mempunyai lima kerusi DUN, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) SSH pada pukul 5.20 pagi semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula dijangka menerima notis kekosongan kerusi DUN tersebut daripada Speaker DUN Negeri Sembilan Isnin ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, hanya selepas itu baru boleh diputuskan satu pilihan raya kecil di kawasan itu.

Mengulas lanjut Najib berkata, BN pada pilihan raya kecil kali ini adalah 'juara bertahan' dan oleh itu pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan kawasan berkenaan daripada jatuh ke parti lawan.

''Kita telah menghadapi banyak pilihan raya kecil dan kita juga mempunyai banyak pengalaman. Untuk pilihan raya kecil kali ini kita adalah juara bertahan.

''Sebagai juara bertahan kita akan buat segala-gala yang perlu dalam usaha kita mencapai kejayaan,'' katanya.

Friday, September 4, 2009

Hari Raya Aildilfitri

Hari Raya Puasa merupakan perayaan yang dirayakan diseluruh dunia bagi menandakan berakhirnya bulan puasa Ramadan di mana umat Islam akan berpuasa dan beribadat dengan lebih tekun. Hari Raya Puasa bermula apabila anak bulan kelihatan, menandakan bermulanya bulan Syawal, iaitu bulan ke sepuluh dalam kalender Hijrah Islam. Anak bulan akan diperhatikan oleh pegawai bertugas pada sebelah petang hingga waktu maghrib di beberapa tempat strategik di Malaysia.

Perayaan Hari Raya Puasa bermula sebaik sahaja anak bulan disahkan kelihatan oleh pemegang Mohor Besar Diraja, dimana takbir akan bergema di masjid-masjid menandakan mulanya perayaan Hari Raya Puasa. Pada keesokkan harinya, pada awal sebelah pagi, sesetengah orang akan pergi membersihkan perkuburan orang yang disayangi dan berdoa agar roh mereka dirahmati Allah.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Sembahyang sunat Hari Raya Puasa sebanyak 2 rakaat pula akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak lewat sedikit berbanding Hari Raya Korban. Kita disunatkan untuk makan sedikit sebelum menunaikan sembahyang sunat Aidil Fitri. Selain itu kita disunatkan juga untuk pergi dan balik daripada mengerjakan sembahyang sunat Aidil Fitri melalui jalan yang berlainan.

Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu, mereka yang muda akan memohon kemaafan daripada mereka yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi antara sesama mereka.

Pada hari raya, Aidil Fitri, kita disuruh agar membantu mereka yang dari golongan fakir miskin. Mereka yang malang ini jangan dilupakan dan hendaklan diraikan dan diberi bantuan sekadar yang mampu.

Pada zaman nabi, perayaan Hari raya Aidil Fitri hanya disambut selama 1 hari sahaja, berbanding dengan perayaan hari raya Aidil Adha yang disambut selama tiga hari.

Selepas meraikan hari raya Aidil fitri, orang Islam juga disunatkan untuk berpuasa enam hari atau 'puasa enam'. Puasa enam boleh dilakukan secara berturut-turut atau berselang-seli tetapi mesti dihabiskan di dalam bulan Syawal. Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W.

"Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diikuti puasa itu dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka pahalanya sama dengan nilai puasa satu tahun (penuh)."
(Riwayat Muslim.)

Kelebihan Sahur

Sungguh banyak kelebihan makan sahur, selain mendapat keberkatan, juga akan mendapat selawat daripada Allah dan para malaikat. Dari Abi Sa'id Al-Khudri katanya : Rasulullah s.a.w. telah bersabda :

"Sahur itu berkat, maka janganlah kamu meninggalkannya walaupun hanya dengan meneguk seteguk air kerana sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur."
( H.R. Ahmad )

Makan sahur adalah pembeza antara puasa umat Muhammat s.a.w. dengan puasa Ahli Kitab. Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Perbezaan antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) adalah makan sahur."
( H.R. Muslim dan Ahmad )