Saturday, September 5, 2009

Najib: Jadikan pilihan raya kecil terdahulu sebagai iktibar

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) supaya menjadikan pengalaman pilihan raya kecil sebelum ini sebagai iktibar.

Perdana Menteri berkata, ia penting supaya mereka dapat melakukan yang terbaik bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Teluk Kemang nanti.

"Saya berharap pengalaman pilihan raya kecil sebelum ini dijadikan sebagai iktibar kepada pemimpin-pemimpin UMNO dan BN untuk kita lakukan yang terbaik pada pilihan raya kecil Bagan Pinang,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan ke Kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu 2 1/2 Jalan Cheras di sini hari ini.

Beliau mengulas kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang ekoran kematian wakil rakyatnya, Azman Mohd. Nor dari BN akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH) di sini pukul 2.30 petang semalam.

Azman, 54, yang merupakan salah seorang daripada dua wakil rakyat BN dalam Parlimen Teluk Kemang yang mempunyai lima kerusi DUN, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) SSH pada pukul 5.20 pagi semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula dijangka menerima notis kekosongan kerusi DUN tersebut daripada Speaker DUN Negeri Sembilan Isnin ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, hanya selepas itu baru boleh diputuskan satu pilihan raya kecil di kawasan itu.

Mengulas lanjut Najib berkata, BN pada pilihan raya kecil kali ini adalah 'juara bertahan' dan oleh itu pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan kawasan berkenaan daripada jatuh ke parti lawan.

''Kita telah menghadapi banyak pilihan raya kecil dan kita juga mempunyai banyak pengalaman. Untuk pilihan raya kecil kali ini kita adalah juara bertahan.

''Sebagai juara bertahan kita akan buat segala-gala yang perlu dalam usaha kita mencapai kejayaan,'' katanya.

No comments:

Post a Comment